Jangan Takut Menyatakan Kebenaran
Saya suka postkan artikel ini dari rakan saya…
Hidup merupakan sistem dualisme. Ada tanah ada angin, ada air ada api, ada senang ada susah, ada lelaki ada perempuan, ada berani ada penakut, dan ada siang ada malam. Demikianlah putaran kehidupan ini dicipta oleh Allah dengan cukup indah dan sempurna sekali. Dengan segala keindahan alam semula jadi yang menghias dunia ini, pohonan rimba yang hijau, aroma buah-buahan yang lazat, taburan bunga di kiri kanan, keayuan wajah jelita gadis-gadis yang mempesona, maka kita semakin asyik terbuai lena dengan nikmat dunia yang sungguh terasa.
Bicara soal berani, maka kita sangat dituntut untuk memilikinya. Masih terngiang-ngiang di telinga kita, kata-kata keramat tokoh pemikir Indonesia Prof. Dr. Hamka. Katanya “Indonesia merdeka di atas darah pejuang yang berani”. Maknanya, dengan keberanian diri maka Indonesia mencapai kemerdekaan. Pada Malaysia, keberanian pejuang bangsa kita terdahulu untuk menentang penjajahan merupakan titik keberanian sejati yang telah membawa kita kepada kemerdekaan sekarang ini. Terima kasih pejuang!
Sebagai rakyat yang ingin sekali menikmati kesejahteraan dalam segala segi di negara merdeka ini, pastinya kita tidak mahu menerima apapun bentuk kecurangan dan penipuan dari pihak pemerintah. Apakah secara sedar atau tidak, kita, khususnya rakyat pedalaman sudah terlalu dibohongi oleh mereka yang bergelar YB. Mereka sering mengumandangkan di setiap majlis yang mereka hadiri. Ucapan-ucapan mereka ini pun disokong berapi-api pula oleh sesetengah media. Akibatnya rakyat yang tidak peka kepada isu-isu pembangunan terlalu mudah untuk dibohongi.
Kita bicara soal daerah sook, iaitu daerah kesayangan kita. Jangan dulu kita bicarakan tempat lain kerana saya yakin, mereka juga punya pendapat serupa dengan kita. Berkali-kali kita dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan dengan retorika pembangunan. Paling dahsyat mereka umumkan adalah Pembangunan Koridor Sabah. Itu sungguh dahsyat kedengarannya. Tapi nyatanya itu sungguh memalukan sekali. Bukan bererti kita menolak gesaan itu, tetapi persoalannya mengapa projek mega itu terlintas di kepala otak mereka sedangkan rakyat sabah ini umunyanya dan kita di sook ini khususnya belum menikmati pembangunan secara merata hingga ke pelusuk desa. Jalan raya ke kampung-kampung belum bagus, bekalan air masih di timba dari sungai, kuasa letrik masih diimport dari kedai cina alias generator, semua ini sepatutnya diperhatikan terlebih dahulu sebelum melaksanakan pembangunan yang lebih besar. Ingin melaksanakan projek mega itu bagus tetapi perhatikan dulu keperluan asas rakyat kerana rakyat sangat memerlukan semua kemudahan ini.
Jika anda berjalan-jalan ke pekan sook, anda pasti mengeluh kerana tempat itu seperti mati. Tidak nampak kewujudan sebuah pekan yang ceria, apalagi jika malam. Lampu jalan raya tidak ada dan segalanya seperti kelihatan ikut tidur menikmati malam yang sepi.
Perkara-perkara sedemikian haruslah kita bangkitkan agar pihak kerajaan sedar diri bahawa ketika mereka berkempen dahulu bukan main lagi janji-janji mereka. Ini itu dibangunkanlah, dibuatlah, dan segala macam janji. Ternyata hingga sekarang pun janji itu cuma sekadar janji ‘kantalan’ saja.
Oleh yang demikian, sebagai warga yang prihatin dengan keperluan pembangunan masyarakat, kita tidak perlu merasa risau dan takut untuk menyatakan kebenaran ini. Ingat, semakin kita diam semakin itulah pemimpin-pemimpin kita makin besar kepala dan angkuh. Kita sudah mengalami pengalaman ini ketika Datuk Joseph Kurup sebagai Adun sook dulu. Cukuplah sejarah lalu jadi guru kita semua.
Oleh itu, marilah kita menjadi warga sook yang pemberani. Berani menyatakan hal sebenar, berani mnegemukakan masalah sebenar, berani menengking kerajaan yang tidak telus, berani memperjuangkan hak sebagai kaum pribumi, berani menongkah arus kemunafikan YB-YB penipu, dan berani menegur siapa pun mereka yang melakukan pengkhianatan terhadap bangsa. Ingat, kitalah yang mengangkat mereka menjadi pemimpin dan kitalah juga yang berhak menjatuhkan mereka semula jika mereka biadap terhadap rakyat sendiri. Kitalah yang menentukan pemimpin pilihan kita dan kitalah juga yang berhak untuk mendapatkan hasilnya kelak.
Jangan ada di antara kita yang jadi manusia sook penakut. Kita adalah tuan di bumi sook ini. Jadi mengapa harus takut? Kita hanya perlu takut jika kita ingin melakukan kesalahan. Jika pemimpin-pemimpin kita berani buat kekurangajaran terhadap rakyat, kenapa kita cuma tunduk dan angguk-angguk seperti kerbau di cucuk hidung. Lawan! Lawan! dan terus lawan!! ingat sekali lagi, kitalah yang mengangkat mereka jadi pemimpin dan kitalah juga yang berhak menjatuhkan mereka semula bila perlu.
Ayuh semua warga sook…sedarlah bahawa lebih baik kita melawan daripada kita dibelasah. Lebih baik kita jatuhkan awal-awal pemimpin yang tidak boleh diharap sebelum mereka makin tumbuh taring di bumi kita. Peganglah kata-kata keramat para pejuang bangsa kita, “Pantang Mundur Sebelum Mati”
“Tidak ada kehidupan paling indah melainkan dengan satu keyakinan,
Tidak ada perjuangan paling indah melainkan dengan satu keyakinan,
Tidak ada pengorbanan paling indah melainkan dengan satu keyakinan…,
Tidak ada kematian paling indah melainkan hanya dengan satu keyakinan”
Editor: Terima kasih dengan rakan yang mengirimkan artikel ini kepada saya….